Isnin, Februari 11, 2008

RM100 ribu untuk anda....


Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM100,000 jika ada pihak memberi maklumat sehingga tertangkapnya penculik Sharlinie Mohd. Nashar.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong sebagai jurucakap NGO itu berkata, wang tersebut hasil sumbangan beberapa pertubuhan dan individu yang prihatin dengan nasib menimpa keluarga kanak-kanak tersebut.

Menurutnya, usaha itu telah dipersetujui hasil perbincangan yang turut melibatkan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk William Lim, dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, semalam.

Bagaimanapun menurut Micheal, ganjaran itu akan diberikan kepada pemberi maklumat berdasarkan tiga syarat utama.

Katanya, wang tunai RM50,000 akan diberikan setelah suspek ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah dan bakinya apabila suspek dijatuhkan hukuman.

"Namun tawaran ini hanya sah sehingga 29 Februari ini sahaja," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sharlinie, 5, hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya dari taman permainan berhampiran rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada pagi 9 Januari lalu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS), Datuk Donald Lim Siang Chai pernah menawarkan ganjaran wang tunai RM5,000 kepada mana-mana individu yang dapat memberi maklumat berhubung kes kanak-kanak malang itu.

Michael memberitahu, usaha tersebut sebagai inisiatif NGO untuk membantu pihak berkuasa dalam mencari Sharlinie yang kini sudah hilang lebih daripada sebulan.

Beliau berkata, tempoh tawaran ganjaran itu dianggap cukup panjang memandangkan kehilangan Sharlinie diketahui oleh semua pihak.

Katanya, mereka yang ada maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi 03- 21615678, 016-6036633 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, 03-79662222 bagi membantu siasatan. {Sumber : Utusan Malaysia}

Tiada ulasan: