* cerita ini petikan dari sebuah majalah. sekadar renungan dan pengajaran untuk kita kongsi bersama.
Barang siapa yang pernah menganiaya saudaranya, baik berupa harga diri maupun harta benda maka pada hari kiamat dia disuruh membayar apa-apa yang diamayakannya itu. Padahal pada waktu itu tidak ada dinar dan dirham. Apabila dia beramal soleh, maka amalnya inilah yang diambilkan, lalu ditambahkan kepada amal orang yang dianiayanya itu. Kalau amal soleh tidak ada, maka dosa-dosa orang yang teraniaya itu ditambankan kepada dosanya. Dosa-dosa itulah yang dipikul. Riwayat Bukhari.
IBU! Bila nak datang, Kak Non agak tenat! Risau benar saya. Dia pun kerap bertanyakan ibu," terdengar suara Rafeah di hujung talian. Memikirkan saya tak ke mana-mana petang itu, saya bersetuju datang. Dalam kereta yang dipandu anak lelaki saya, fikiran melayang jauh. Bertahun-tahun Zainon menderita. Adiknya Rafeahlah yang menjaga makan minumnya kerana dia tidak pernah berkahwin.
"Mak cik Zainon tu sakit apa?" tanya anak saya. Soalan itu menghentikan khayalan saya.
"Tak tahu. Bawa ke hospital kata doktor tak ada apa-apa. Kenapa?" saya bertanya.
"Kesian dia ya bu! Lama betul sakitnya," tambah anak saya. Saya hanya mengangguk.
Memang pelik penyakit Zainon. Belakang dan perutnya membengkak.
Kalau disarung kain pelekat, tak payah ikat, memang takkan terburai. Padat... begitulah besarnya tubuh Zainon.
"Dah sampai bu," anak saya bersuara. Sebaik turun, saya nampak Rafeah berdiri di muka pintu.
Selepas salam bersambut, dia mempelawa saya naik. Kami terus ke bilik Zainon. Masya-Allah! Wajah Zainon bertambah cengkang. Dahinya berkerut-kerut seperti sedang menahan sakit. Melihat saya datang, air matanya mula mengalir.
Puas menelentang dia menonggeng, kemudian mengiring. Cukup sukar dia mengimbangi badan besarnya serta perut yang memboyot, berbanding lengan dan kaki yang hanya tulang dibaluti kulit.
Selepas memberi air penawar dan memandikannya, saya menasihatkan Zainon supaya banyak bersabar. Memang itulah yang saya lakukan setiap kali mengunjunginya.
Lebih kurang sejam kemudian, saya bersama Rafeah ke ruang tamu meninggalkan Zainon sendirian.
Sementara menunggu anak yang berjanji datang menjemput, saya berbual kosong dengan Rafeah.
"Kakak sulung saya - Kak Midah dulu mati sakit macam Kak Non tulah ibu," kata Rafeah. Dia terus menyambung mengatakan bertahun-tahun juga Hamidah menderita.
"Selepas Kak Midah mati, Kak Non pula kena. Pening saya ibu. Sejak arwah mak dan ayah pergi, silih berganti adik-beradik saya mengalami sakit ganjil macam tu," katanya lagi. Saya hanya membisu kerana tidak pernah mengenali kakak sulung Rafeah.
Yang saya kenal cuma Rafeah dan Zainon, itu pun selepas melawatnya atas ajakan seorang kawan yang bersimpati dengan adik-beradik itu dulu.
Menurut Rafeah, Hamidah terpaksa menggunakan kain untuk mengampu perutnya yang memboyot dan mengleber, macam Orang Asli menggenng anak.
'Bawa ke hospital, doktor kata tak apa-apa, tapi perut Kak Midah luar biasa boyotnya. Tapi Kak Zainon lagi teruk, bahagian belakang pula yang membengkak, langsung tak boleh berjalan. Kak Midah boleh juga turun naik tangga," kata Rafeah.
Saya hanya mendengar kerana walau pun kerap saya dipanggilnya untuk menengok-nengok Zainon, saya tidak pernah bertanya hal-hal keluarganya.
"Tapi malang tidak berbau, ibu. -waktu pagi, Kak Midah terpelecok semasa menuruni tangga. Kepalanya terantuk ke bucu simen. Kesian kakak, dia meninggal di situ juga!" kata Rafeah mengetap bibir menahan sebak.
"Feah! Feahhh!" tiba-tiba terdengar suara Zainon. Kami berdua meluru masuk. "Ada apa kak?" tanya Rafeah lembut. Dalam suara perlahan dia meminta Feah membeli sebungkus mi goreng di kedai mamak berhampiran.
Selepas mengemaskan dirinya, Rafeah yang masih gadis walau telah lanjut usia, terus beredar. Tinggallah saya bersama Zainon.
"Non nak minum?" tanya saya. Dia menggeleng-geleng, kemudian tersenyum. Dia meminta saya duduk di birai katilnya.
"Ibu..." katanya perlahan. "Saya bukan nak makan sangat, cuma mahu Feah meninggalkan kita berdua. Ada sesuatu yang nak saya ceritakan pada ibu," katanya.
Agak lama dia terdiam. Saya pandang tepat ke wajahnya.
Zainon kemudian menggenggam erat tangan saya dan meminta agar ceritanya itu dirahsiakan daripada Rafeah.
"Ibu, saya dengar Feah ceritakan pada ibu bagaimana sengsaranya Kak Midah tadi. Saya sedih ibu... sedih kerana sayalah puncanya. Saya yang menyebabkan kakak saya jadi begitu kerana melayan tuntutan nafsu.
"Saya berhajat nak bolot hana pusaka peninggalan ayah," katanya tersekat-sekat.
Menurut Zainon, dia terlalu tamak. Kalau boleh dia nak bolot semua kekayaan ayahnya. Lalu dicarinya bomoh, pawang dan dukun untuk mengenakan kakak sulungnya itu selepas kematian orang tua mereka.
"Usaha saya berhasil. Kak Midah dan Feah jadi macam lembu dicucuk hidung. Semua harta peninggalan ayah, saya yang uruskan. Hajat saya belum tercapai, saya mahu semua harta pusaka itu dinamakan atas nama saya," cerita Zainon lagi.
Zainon bertindak lebih jauh, mencari pula bomoh yang lebih handal. Niatnya mahukan kakak dan adiknya sasau supaya tidak mendapat hak mereka.
Akibamya Hamidah tiba-tiba sakit. Dibawa bertemu doktor, tiada dapat dikesan penyakitnya. Seleranya semakin tumpul, tubuh badan melidi dan yang lebih malang, perut Hamidah memboyot seperti ibu mengandung, sehingga ada penduduk kampung yang menuduh dia mengandungkan anak haram.
"Ketika itu saya cukup seronok, tetapi pura-pura simpati. Kalau boleh saya mahu Kak Midah hancur lebih cepat. Kerana itu apabila ketua kampung yang turut menuduh Kak Midah berzina membawanya ke hospital, saya berharap, dia akan terus tinggal di sana.
"Sekarang barulah saya dapat rasa bagaimana Kak Midah menghadapi penyakitnya.
"Kak Midah menderita kerana saya ibu! Saya malu dan menyesal ibu. Saya menyesalllllllll! " katanya teresak-esak. Saya terkedu dan gamam mendengar cerita Zainon. Begitu sekali... bisik hati saya.
"Mohonlah keampunan Allah," kata saya.
"Apakah layak saya diampunkan? Dengan Tuhan boleh saya minta ampun, Kak Midah bagaimana? Dia dah tak ada, ibu!" raungnya.
"Saya sangka dengan membolot harta pusaka tu, hidup saya senang. Tapi nyata saya silap," kata Zainon lagi dan kali ini berhamburan air matanya.
Sambil itu jari-jemarinya menggenggam erat tangan saya.
"Ibu tahu, sejak Kak Midah pergi, saya senriasa gelisah. Hidup ini saya rasakan tak pernah aman. Seperti ada saja yang memerhatikan setiap gerak geri saya. Ke mana saja saya pergi, macam diekori," kata Zainon bersungguh-sungguh.
"Sejak itu saya sering mengutuk diri. Harta pusaka ke mana, saya ke mana. Yang pasti saya kehilangan seorang kakak. Dalam pada keterlaluan memikir itulah, suatu malam, saya rasa bahagian pinggang sengal-sengal.
"Lama-lama timbul macam satu benjolan di sebelah kiri bahagian belakang. Semakin hari semakin membesar, seperti bonggol unta.
"Sejak itu penyakit saya bertambah teruk. Saya dapat rasakan, ini adalah balasan Tuhan. Kalau benar, saya redha kak. Memang saya patut dihukum," rintih Zainon dalam esak tangisnya.
Dalam keadaan gamam yang amat sangat, saya usap kepala Zainon. Saya beristighfar beberapa kali, mengenangkan bagaimana kerana harta, saudara sendiri dimangsai.
Kalau dilihat rupa paras Zainon, tiada siapa yang percaya dia sanggup melakukan perbuatan kejam itu.
Rafeah sendiri pun pasti tidak akan percaya kerana Zainon nampak jujur menguruskan harta peninggalan ayahnya.
Seminggu lebih saya memikirkan cerita Zainon. Masuk minggu berikut-nya saya menziarahinya lagi. Kali ini saya lihat keadaannya lemah benar.
Pelik, dalam keadaan wajah seperti tengkorak, dia begitu berselera makan. letapi dah hampir dua minggu tak buang air besar," kata Rafeah.
"Non, ceritakan segalanya pada Feah dan minta maaf. Ibu tak sanggup lihat Non macam ni. Mudah-mudahan ringan beban tu. Lepas tu kita ikhtiar yang lain..." saya memujuknya.
Dia hanya mendiamkan diri. Air matanya tak henti-henti mengalir. Sesekali dadanya berombak-ombak kerana menahan sebak.
Tetapi Zainon masih enggan meminta maaf kepada Rafeah. Hanya lima hari kemudian, ketika saya mengusap-usap kepalanya, dia minta panggilkan Rafeah. Ketika itu dia bertambah teruk. Perutnya pula membusung, ngeri melihatnya.
"Feah... Kak Non minta maaf..." kata Zainon tersekat-sekat sebaik Rafeah berteleku di sisinya memberitahu apa yang telah diceritakannya pada saya.
"Kak Non! Kak jangan gurau macam tu," kata Rafeah dalam esak tangisnya. Dia enggan mempercayai perbuatan kakaknya.
"Feah, ampunkan Kak Non. Kak Non berdosa pada Feah dan Kak Mi-dah..." kata Zainon sambil menangis teresak-esak.
"Feah maafkan Kak Non... Feah maafkan!" kata Feah tersedu-sedu menyambut tangisan Zainon lantas mendakap kakaknya yang terbaring.
Cukup hiba saya ketika itu. Saya turut mengalirkan air mata, sedih sungguh. Tiada lain yang kedengaran ketika Itu, kecuali esak tangis kami bertiga.
Tiba-tiba Zainon tersedak. Rafeah melepaskan dakapan dan dilihat tangan dan kakinya kejang.
Mata Zainon terbeliak, dadanya berombak-ombak kencang. Apabila kain yang menutup perutnya menggelongsor, nampak urat-urat hijau berselirat di sana sini.
Keadaan kulit perut yang merening seolah-olah akan meletup pada bila-bila masa. Sejam kemudian, Zainon menghembuskan nafas akhirnya selepas mendengkur seketika.
Semasa menguruskan jenazahnya, berbaldi-baldi air keluar daripada duburnya. Baunya menyengat hidung, seperti air kelapa busuk. Tetapi yang aneh, perutnya tidak juga kempis.
Kembang kempis hidung rakan-rakan yang membantu, tetapi tiada siapa yang berani bersuara.
Selepas dikebumikan, berlaku lagi sesuatu di luar dugaan. Kuburnya mendap tetapi penjaga kubur cepat menambaknya. Seminggu kemudian, ia mendap lagi... dan terus mendap walaupun ditambak beberapa kali.
Walaupun dah lima tahun berlalu, setiap minggu penjaga kubur terpaksa menambak kubur Zainon kerana ia terus-menerus mendap sampai sekarang.